PORTAL APIS

apisbp.net
Website Mesti Lawat

Saturday, September 13, 2008

sebab-sebab perlunya kita mengenang jasa dato' onn

Orang Melayu memang kaya dengan peribahasa yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Antara peribahasa yang menggambarkan seseorang yang tidak mengenang budi dan jasa orang lain ialah seperti kacang lupakan kulit dan juga seperti ulat lupakan daun. Peribahasa seperti kacang lupakan kulit bermaksud seseorang yang lupa dan tidak mengenang jasa dan pengorbanan orang yang telah menolongnya setelah dia menikmati kesenangan dalam hidupnya. Oleh itu, sikap seperti ini haruslah dikikis dalam hidup kita. Kita haruslah sentiasa menghargai dan berterima kasih kepada apa-apa sahaja pemberian, jasa, pengorbanan, dan juga pertolongan orang lain yang telah diberikan kepada kita. Orang yang mengamalkan prinsip hidup seperti kacang lupakan kulit tidak akan hidup bahagia sepanjang kehidupannya kerana akan dipandang serong oleh masyarakat. Malangnya, walaupun berbagai-bagai langkah telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan swasta untuk memastikan jasa Dato’ Onn dapat dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia, namun masih ada ramai warganegara kita di luar sana yang tidak menyokong segala usaha yang telah dilakukan.

Hal ini demikian kerana ramai antara mereka tidak mengetahui mengapakah kita perlu menghargai jasa dan bakti yang telah ditabur oleh Dato’ Onn Jaafar. Antara sebab mengapa kita perlu mengenang jasa dan pengorbanan Dato’ Onn adalah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang berkebolehan dan dapat membuktikan bahawa dalam era globalisasi ini, negara kita masih mempunyai tokoh pemimpin yang berkaliber. Wawasan 2020 yang menjadi buah mulut rakyat Malaysia semakin hampir dan negara kita sememangnya memerlukan pemimpin-pemimpin yang mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kerjayanya sepertimana yang dilakukan oleh Dato’ Onn sebagai pemimpin yang memimpin sebuah pertubuhan untuk menentang pihak penjajah. Dengan ini, segala masalah yang dihadapi oleh negara kita seperti masalah sosial, kegawatan ekonomi dan banyak lagi dapat diatasi dan seterusnya memudahkan kita untuk mengecapi cita-cita negara bangsa kita yang merupakan idea yang telah diutarakan oleh Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed atau lebih dikenali dirantau Asia Tenggara dengan panggilan Dr. M., iaitu untuk mencapai Wawasan 2020.

Di samping itu, kita juga boleh mengambil pengajaran dan iktibar daripada perjuangan Dato’ Onn dalam mempertahankan maruah bangsa Melayu. Kita sayugianya memberikan perhatian yang lebih terhadap perjuangan yang telah dilakukan oleh beliau kerana bukan calang-calang orang yang berani tampil ke hadapan dan menyuarakan pendapatnya secara terbuka di peringkat nasional. Dengan ini, kita boleh membentuk sebuah generasi yang dapat berfikir secara rasional dan mengeluarkan idea-idea yang bernas untuk mengatasi segala masalah yang dihadapi oleh seluruh warganegara Malaysia. Jika kita tidak berusaha mengatasi segala kemelut yang melanda negara kita, tentu sukar bagi kita untuk meneruskan perjuangan yang telah dilakukan oleh Dato’ Onn dalam memajukan bangsa dan negara agar negara kita terus cemerlang, gemilang, dan terbilang di seantero dunia. Dengan kata lain, kita perlu mengenang dan merenung kembali sejarah perjuangan Dato’ Onn menentang penjajah British untuk memastikan negara kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dangan negara-negara maju serta mencapai taraf negara maju dan seterusnya menghapuskan status negara membangun yang telah sinonim dengan negara kita sejak sedasawarsa yang lalu.

Artikel Yang Berkaitan



Sekolahku

Ko Apesal?!

GengCyber